KUALA LUMPUR 14 Feb - Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir
Sheikh Fadzir hari ini mengumumkan beliau telah meletak jawatan
daripada Kabinet untuk meluangkan lebih masa kepada keluarganya.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
bersetuju menerima peletakan jawatannya, tetapi meminta beliau terus
berkhidmat sehingga satu pengumuman rombakan Kabinet dibuat.
"Saya tak tahu bila Perdana Menteri akan mengumumkan rombakan
Kabinetnya," katanya pada satu sidang akhbar di pejabatnya di
Angkasapuri pagi ini.
Mengimbas kembali keputusannya untuk berundur, yang menurut beliau
dibuat "dengan hati yang berat dan sedih", Abdul Kadir berkata, beliau
menemui Perdana Menteri sembilan bulan lalu bagi menyatakan hasratnya
itu.
Katanya, Abdullah meminta beliau supaya "bersabar dahulu, fikir semula dan terus berkhidmat".
Katanya, dua minggu lepas, beliau sekali lagi berjumpa Perdana Menteri untuk memohon supaya dibenarkan berundur.
"Kali ini, beliau memberitahu saya bahawa oleh kerana saya sudah pun memikirkannya secara mendalam, beliau bersetuju.
"Namun, beliau meminta saya terus berkhidmat sehingga beliau umumkan rombakan Kabinet," kata Abdul Kadir.
Katanya, walaupun melepaskan jawatan menteri, beliau tidak akan meninggalkan politik.
"Malah saya berhasrat menjadi lebih aktif.
"Insya-Allah, saya mahu bertanding semula kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya juga merancang bertanding jawatan penting pada pemilihan Majlis Tertinggi UMNO.
"Saya sudah memegang jawatan dalam UMNO sejak 1956, atau 50 tahun
lepas, dan oleh itu, sukar bagi saya untuk tidak lagi aktif dalam
politik," katanya.
Abdul Kadir telah memegang jawatan sepenuh masa dengan kerajaan
persekutuan sejak 1970, bermula sebagai setiausaha politik, setiausaha
parlimen, timbalan menteri dan menteri hampir secara berterusan
sehingga hari ini.
Katanya, beliau telah melakukan yang terbaik dan dengan penuh komitmen, masa dan tenaga dalam menjalankan tanggungjawab itu.
"Sama ada saya efektif atau tidak dalam jawatan-jawatan ini bukan
untuk saya menilainya," kata Abdul Kadir, yang merupakan Menteri
Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan selama lima tahun sebelum dilantik
sebagai Menteri Penerangan pada 2004.
Dengan nada sebak, beliau berkata, oleh sebab terlalu banyak masa
untuk melaksanakan tugas rasminya, beliau tidak dapat memberi sepenuh
perhatian kepada keluarganya.
"Malangnya kerana terlalu ghairah dan komited dengan tugas, saya
gagal memberi masa yang sewajarnya untuk keluarga dan diri saya
sendiri.
"Walaupun saya cuba, saya hanya ada sedikit masa untuk anak-anak dan isteri saya," katanya.
Abdul Kadir berkata, oleh sebab itu, isteri dan anggota keluarga
yang lain kerap mencadangkan beliau menimbang supaya melepaskan
jawatan.
"Pada hakikatnya, saya sangat gembira bekerja dengan Perdana Menteri dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Oleh itu dengan berat hati dan sedih, saya perlu membuat keputusan
ini, lebih-lebih lagi kedua-duanya bekerja kuat untuk memimpin negara,"
katanya.
Abdul Kadir berkata, bagi pentadbiran Abdullah, masa ini merupakan satu tempoh yang berbeza dan sukar.
"Oleh itu, setiap orang wajar membantu mereka. Saya juga berharap
dapat berkunjung ke seluruh negara untuk membantu menjelaskan
dasar-dasar kerajaan dan memperkukuhkan parti (UMNO)".
Isteri Abdul Kadir, Datin Seri Suraya Md Noah yang turut hadir,
berkata, beliau bersetuju dengan keputusan suaminya untuk melepaskan
jawatan.
"Saya dan anak-anak, termasuk anggota keluarga yang lain, sangat
gembira kerana selepas ini, suami saya akan mempunyai banyak masa
bersama kami.
"Anak kembar kami yang berusia lapan tahun jarang berpeluang bersama
bapa mereka, walaupun saya perhatikan ketika bersama, mereka sentiasa
gembira.
"Kami tidak membantah beliau teruskan pembabitannya dalam politik
kerana ia tidak mengambil terlalu banyak masanya," kata Suraya.
Suraya berkata, keputusan Abdul Kadir melepaskan jawatan mungkin merupakan "satu daripada hadiah terbaik hari Valentine".
Berbaju hitam dengan bow-tie berwarna merah pulasan, Abdul Kadir
berkata, dengan peletakan jawatan itu, beliau akan meluangkan masa
"untuk mencuba-cuba peluang dalam sektor swasta, tetapi saya tidak akan
membabitkan diri dalam bidang undang-undang."
"Saya perlu menyara keluarga saya, jadi ia merupakan perkara terbaik
untuk saya mencari pendapatan," kata peguam yang menjadi ahli politik
itu dengan tenang sepanjang sidang akhbar berkenaan.
Abdul Kadir berkata, beliau menemui Perdana Menteri dua minggu lepas
bagi menyuarakan keputusannya dan mengadakan pertemuan dengan Timbalan
Perdana Menteri empat hari lepas.
Beliau juga menemui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
Abdul Kadir bagaimanapun berkata, beliau tidak perlu mengemukakan
surat peletakan jawatan kepada Abdullah memandangkan persaraan beliau
dalam kerajaan hanya berkuat kuasa sebaik Kabinet dirombak.
"Malah selepas pilihan raya umum lepas (pada 2004), saya pernah
berkata bahawa saya hanya akan terus menjadi menteri sehingga
pertengahan penggal.
"Ia tiada kaitan dengan kekalahan saya pada pemilihan UMNO
(berlangsung pada 2004. Beliau bertanding jawatan anggota Majlis
Tertinggi).
"Masalah terbesar saya ialah saya rapat dengan kakitangan saya dan
sukar untuk meninggalkan mereka. Saya bekerja dengan penuh semangat,"
kata Abdul Kadir dengan genangan air mata.
Selepas mengawal emosinya, Abdul Kadir menolak tanggapan bahawa beliau menghadapi tekanan supaya meletak jawatan.
Menurutnya, walaupun menganggap dirinya ahli politik sepenuh masa,
beliau tidak mampu mempunyai tugas sepenuh masa dalam politik, tetapi
"saya sedia berkhidmat secara sambilan."
Ditanya bagaimana beliau mahu diingati, Abdul Kadir berkata: "Saya
suka diingati sebagai orang yang baik dan bukan orang yang tidak baik."
Beliau juga berharap penggantinya akan meneruskan rancangan untuk
menjadikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai agensi penyiaran
moden dan semasa. - Bernama